‘Papa Jahat’ BerHari Raya Stail Hip Hop

0
508
Cat Farish, wajah lagenda Hip-Hop Malaysia yang masih aktif

Bukan mudah rupanya menjadi pelakon tambahan, penulis berpeluang untuk menjadi ‘nasi tambah’ bagi sebuah telemovie yang akan ditayangkan pada Hari Raya pertama di Astro Ria. Dari Puchong menaiki LRT, kemudian menaiki GRAB ke tempat yang di tuju, nasiblah sudah ada LRT jimat sikit belanja, kerana jika dahulu di waktu sesak pagi dah tentu bayaran teksi ‘tanpa meter’ menjangkau RM100.

Semasa dalam perjalanan terfikir pula, apa kata penulis menangkap ‘mangsa’ untuk cerita terkini, maklumlah bukan senang nak dapat peluang untuk bersama dengan selebriti Malaysia. Sampai di sana, ramai rupanya yang sudah menunggu, penulis pun mengambil tempat sebagai “pak pacak’, bukan sebagai dayang atau pemegang tombak, tetapi sebagai salah seorang ‘wartawan’  yang sedang hadir di sesi sidang media watak utama.

Jenuh juga, satu ‘scene’ kena dilakukan beberapa kali sehingga Tuan Direktor puas hati. Selepas itu, penulis serta beberapa orang rakan wartawan lain pun menjalankan ‘misi’ masing-masing, iaitu menemuramah selebriti yang terlibat dengan penggambaran pada hari tersebut. Apa lagi, ‘mangsa’ pertama penulis  adalah Cat Farish, satu nama yang besar dalam industri musik negara, yang memegang watak sebagai pengurus kepada watak utama. Seorang pemuzik, penyanyi, penulis lagu, penyanyi rap, penerbit rakaman, dan yang paling tidak dilupakan adalah merupakan pengasas kumpulan rap Ruffedge (1997) dan The Fabulous Cat (2006).

Lakonan sebagai Fendi Pengurus kepada watak utama telemovie Jay Jie x Che Beyonchey Gambar ihsan Ruffedge

‘Papa Jahat’ Yang Baik – Dulu, Kini Dan Selamanya

Cat Farish, atau nama sebenarnya, Farish Zaquan bin Ramli (47 tahun), bersama Ruffedge menghasilkan lagu hit Khayalan, Da’bomb, Goyang dan yang paling diingati peminat ialah Tipah Tertipu.  Lagu tersebut kemudiannya dijadikan sebuah filem Tipah Tertipu The Movie, di mana semua anggota Ruffedge berlakon di bawah arahan Ahmad Idham pada 2006, menampilkan aktres Intan Ladyana sebagai watak utama.

Ruffedge Single baru akan keluar lepas Raya ni Dari kiri Azan Addin Cat Farish Mode Sein Qudsi Zain Hamid Gambar ihsan Ruffedge

Bersama The Fabulous Cat pula, lagu yang mencuit hati ramai  dan mendapat  putaran meluas dari stesen-stesen radio dan menduduki tangga teratas dalam banyak carta hiburan adalah ‘Papa Jahat,’ namun lagu tersebut telah digam oleh stesen penyiaran milik kerajaan berikutan liriknya yang di katakan menyindir kaum bapa.

Cat Farish juga menjelaskan beliau bukan sahaja menulis lagu-lagu ‘nakal’, tetapi juga menulis lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan seperti dengan Kumpulan Firdaus dan UNIC dengan nama ‘Pujangga’. “Saya adalah Cat Farish, tetapi kalau genre lagu, nama Pujangga lain, Papa Jahat lain, Ruffedge lain,” katanya lagi.

“Itu semua adalah kenangan dan pengajaran sebagai penghibur dan anak seni. Perkembangan terbaru saya adalah saya baru lepas berkoloborasi dengan PU Riz bagi single terbaru Datin Alyah bertajuk ‘Thank You Allah’, sempena Bulan Ramadan dan sudah pun berada dalam YouTube Warner Music. Perancangan awalnya adalah dari Datin Alyah yang mencetuskan idea ini sejak PKP, keadaan yang memberikan impak kepada kita semua. Secara amnya, sekejap sahaja masa yang diambil untuk menyiapkan video tersebut.

Lakonan Sebagai Pengurus Artis Hip Hop, Lagu Raya Dan Ruffedge

Di tanya berkenaan watak Fendi, seorang pengurus artis yang berwatak  ‘happy go lucky’ dan terkinja-kinja kepada Watak Utama, yang merupakan ‘musuh musik’ kepada watak utama yang kedua menyatakan bahawa pada mulanya, beliau hanya sebagai komposer lagu raya dalam telemovie ini. “Pada awalnya tajuk adalah lain, tetapi diubah kepada Raya Hip-B yang lebih menjurus kepada lagu hip hop mengikut selera musik generasi masa kini.”

“Kalau nak di katakan lagu raya ini boleh jadi ‘Evergreen’ atau tidak, itu hanya masa yang akan tentukan, tetapi jangan lupa lagu ‘La Vida Raya’ walau mendapat pelbagai reaksi, ia adalah satu lagu raya yang viral. Masa zaman saya muda dahulu lagu raya yang berkumandang adalah lagu 4U2C dan Feminin. Pada masa itu, lagu-lagu itu biasa sahaja, tetapi kini, lagu-lagu tersebut di terima sebagai lagu raya yang ‘evergreen’.

“Bagi Ruffedge pula, kami sudah pun mengadakan empat konsert yang pecah panggung, di mana 5,000 tiket kami sudah habis terjual dalam masa sejam. Konsert kami di RTM bersama 4U2C juga ramai peminat yang datang sehingga ada yang sanggup duduk di tangga. Ini cerita sebelum pandemik COVID-19 . Selain itu, kami ada buat single terbaru olahan baru lagu ‘Da Bomb’ untuk kempen pemasaran ‘Sugar Bomb’, dan kini video itu telah viral menjangkau 250,000 penonton.

Masuk Politik?

Memandangkan sekarang tren artis dan selebiti masuk politik, di mana yang terbaru Altimet dan Afdlin Shauki, Cat Farish menjawab:  “Bagi saya, pada masa ini saya belum ke arah sana walaupun saya datang dari keluarga yang giat berpolitik, bermula daripada nenek saya yang merupakan orang kuat Tun Ghafar Baba sedari politik sebelum kemerdekaan lagi.  Kini, makcik, pakcik dan sepupu saya juga bergiat dalam politik mengikut parti politik pilihan masing-masing. Secara peribadinya, saya  berada dalam lingkungan politik sejak zaman DS Najib Razak menjadi Perdana Menteri. Banyak lagu-lagu patriotik yang saya gubah termasuk lagu ‘Janji Ditepati’. Lagu-lagu patriotik ini adalah sumbangan harta intelek saya kepada negara. Lagu-lagu ciptaan saya itulah semangat patriotik saya.”

Berbalik kepada soalan tadi, Jika saya masuk politik, maka politik yang akan saya bawa adalah ‘Politik Hip-Hop’, di mana semua rakyat akan bergembira dan tiada bersengketa. Pandemik ini adalah satu perkara yang mengubah kehidupan seorang, tanpa mengira sesiapa pun. Orang yang berada di atas janganlah lupa yang di bawah. Kami di Ruffedge masih lagi kukuh walau dilanda badai beberapa kali. Yang di atas tak payah nak mendongak sangat, sampai masa akan turun jua. Pandemik ini mengajar kita supaya untuk ‘survive’ kita perlu berusaha untuk hidup.”

Persaingan Sengit

Cat Farish juga menasihatkan artis-artis muda perlu berusaha lebih kerana persaingan adalah sangat sengit. Mereka juga perlu memahirkan diri menggunakan medium media sosial untuk mempromosikan bakat sebaik-baiknya kerana zaman media sosial ini adalah zaman mereka. Selain itu,  jika mahu menjadi penghibur, bakat-bakat baru patut pandai menari, kerana pada ketika ini, medium TikTok banyak mengajar tarian-tarian mudah untuk diikuti.

Akhirkata dari Cat Farish agar para peminat semua menyaksikan Telemovie Jay-Jie VS Cik B-Yonchey di Astro Ria pada Hari Raya ke-3, pada jam 10 pagi. Telemovie ini menampilkan pelakon utama Cik-B, Chubb-E, Dato Seri Vida dan Cat Farish di samping pelakon pembantu iaitu Zynnakal, Yonnie Boii, Azman Ahmad dan Ifa Raziah.

Nantikan Bahagian Kedua pula, New malaysia Herald bersama Dato’ Sri Vida, ikon wanita berjaya menceritakan perihal anak gadisnya Cik-B yang berlakon sebagai salah satu watak utama dalam telemovie ini. – New Malaysia Herald

Mengenai penulis: Emma Harith adalah seorang surirumah sepenuh masa. Selain daripada menguruskan hal ehwal domestik, penulis juga seorang Aktivis kemasyarakatan di samping mempunyai hobi makan -makan dan jalan-jalan. THE KITCHEN IS MY OFFICE. If you can’t stand the heat, stay away from the kitchen.

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com