Desakan Parlimen Bersidang: Bukan Keputusan BN

Itu Keputusan UMNO, Bukan Kami, Kata MIC, MCA

0
292
Presiden MIC Tan Sri Vigneswaran (kiri) dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berpendapat bahawa dua2 parti mereka tidak memberikan sebarang tempoh kepada kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen.

MIC dan MCA tidak memberikan sebarang tempoh kepada kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen.

Portal FMT melaporkan Presiden MIC Tan Sri Vigneswaran sebagai berkata, partinya menyerahkan kepada kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen “berdasarkan situasi munasabah”.

“Baginda mengatakan kerajaan perlu memanggil Parlimen secepat mungkin berdasarkan kepada situasi yang munasabah, maka terpulang kepada kerajaan untuk memutuskan dalam masa terdekat,” katanya kepada FMT.

Presiden UMNO Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini secara rasmi memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan PN untuk mematuhi titah Agong dan Raja-Raja Melayu untuk memanggil Parlimen bersidang serta tidak lagi “berdolak-dalik lagi” dengan istilah “secepat mungkin” dan “segera”.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut berkata perjumpaan Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan diadakan bagi “memuktamadkan tindakan lanjut”.

Vigneswaran melihat langkah Umno itu sebagai keputusan tersendiri parti tersebut.

“Itu keputusan UMNO, bukan BN, jadi terpulang kepada UMNO. Kita MIC tidak (beri tempoh),” tambah Vigneswaran lagi.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon pula dipetik sebagai berkata, keputusan memanggil sidang Parlimen harus berlandaskan undang-undang.

“Proses pemanggilan persidangan Parlimen perlukan notis (28 hari) kepada semua Ahli Parlimen untuk menghantar soalan dan seterusnya kementerian berkaitan menyediakan jawapan, selain sesi soal jawab dan ‘Minister Question Time’ semasa berlangsungnya sesi Parlimen,” katanya kepada FMT.

Tambah Chong lagi, darurat dijangka berakhir pada 1 Ogos dan Parlimen boleh dipanggil bersidang mengikut undang-undang sedia ada.

“Semua proses harus berlandaskan undang-undang,” katanya.

Kedua-dua parti itu walau bagaimanapun menegaskan pendirian mereka menjunjung titah Yang DiPertuan Agong.  

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara selepas meneliti pandangan pemimpin parti politik dan taklimat pakar yang dipanggil menghadap minggu lepas.

Ia disusuli kenyataan bersama Raja-raja Melayu yang berpandangan tiada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos dan menggesa Dewan Undangan Negeri bersidang semula secepat mungkin

Susulan titah Agong dan Raja-Raja Melayu, kerajaan pemerintah telah mendapat tekanan untuk menamatkan darurat dan memanggil Parlimen untuk bersidang daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin parti-parti politik, penganalisa politik dan badan pertubuhan bukan kerajaan. – New Malaysia Herald

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com