Kes Baby Syifaa: Polis Terima Arahan Lanjut Dari Pejabat Pendakwaan

0
338

“Polis tidak pernah sesekali menafikan hak sesiapa dalam menjalankan siasatan kes ini yang disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip undang-undang ‘justice delayed is justice denied’” – Abd Jalil Hassan

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan kes seorang bayi yang meninggal dunia di pusat jagaan yang dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Sembilan sebelum ini telah dikembalikan semula dengan beberapa arahan lanjut yang perlu diambil tindakan dalam melengkapkan siasatan.

Menurut Bernama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, polis mengambil masa menyiasat kes itu kerana perlu mendapatkan beberapa laporan daripada agensi berkaitan bagi memastikan siasatan dibuat secara menyeluruh, adil dan saksama.

“Polis tidak pernah sesekali menafikan hak sesiapa dalam menjalankan siasatan kes ini yang disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip undang-undang ‘justice delayed is justice denied’,” Bernama memetik Abd Jalil sebagai berkata dalam satu kenyataan malam Jumaat (01 April).

Beliau berkata, polis juga mengambil maklum tentang kerisauan keluarga mangsa dan orang ramai berkaitan siasatan yang dijalankan ke atas kematian di sebuah pusat jagaan di Negeri Sembilan itu.

“Polis menyeru kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan ruang dan masa bagi memastikan siasatan dibuat secara komprehensif dan holistik,” katanya.

Pada 22 Februari lepas, seorang bayi perempuan berusia 15 bulan meninggal dunia selepas kepalanya dipercayai tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan, Seremban.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, Nour Rania Asyifaa Yuseri disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sendayan oleh pegawai perubatan pada 4.30 petang selepas seorang wanita yang juga pengasuhnya membawa mangsa ke klinik itu untuk rawatan.

Timbul Kemusykilan Kematian Anak

Namun, bapa kepada bayi itu, Yuseri Yusoff  mengatakan kematian tersebut adalah pelik dan aneh setelah mendapat hasil siasatan daripada pihak polis.

Jelasnya, rasa keraguan mulai timbul apabila pengasuhnya mengatakan jenis buaian anaknya itu adalah buai kain yang seperti jaring semasa disoal siasat oleh pihak polis.

Ibu Bapa Mahu Tegakkan Keadilan

Yuseri berpendirian bahawa dia tidak akan berdiam diri kerana ia melibatkan nyawa anak bongsunya.

Dia sekeluarga berharap agar kes siasatan kematian  Syifa mendapat keadilan dan mestilah diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com