Merdeka! Merdeka! Merdeka! Bagaimanakah Semangat Merdeka Tahun Ini?

Tahun ini adalah tahun kemerdekaan yang ke-65 dengan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ dan diserikan dengan ‘logo’ umpama lambang wifi yang dipertontonkan kepada umum. Banyak aktiviti sambutan Bulan Kebangsaan yang diadakan pelbagai pihak bagi membantu kerajaan menyemarakkan Hari Merdeka yang baru disambut semula selepas lebih kurang dua tahun tanpa sambutan gilang-gemilang akibat penularan Covid-19 yang menjadi ancaman kepada kesihatan dan keselamatan ketika itu.

Namun, suka atau tidak, walaupun kerajaan dan pihak swasta berusaha keras untuk memeriahkan aktiviti Bulan Kebangsaan, sambutan terasa sangat hambar dan penuh ‘kepura-puraan’ serta tidak selari dengan tema yang diwar-warkan di dalam media dan di seluruh pelosok negara dari Perlis sampailah ke Sabah. Penulis bukan hendak menidakkan usaha dan penat lelah agensi-agensi yang terlibat, tetapi sebagai rakyat biasa, tidak terasa langsung semangat kemerdekaan kali ini.

Untuk berlaku adil di sini, kehambaran ini kita tidak boleh kata kerajaan, pihak swasta dan individu-individu yang prihatin tidak berusaha. Mereka berusaha untuk menanamkan semangat Merdeka, cuma kita sebagai rakyat yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, yang baru nak memulakan kehidupan selepas Covid-19 ini merasakan semangat untuk memulihkan ekonomi keluarga lebih penting daripada membeli bendera untuk dipacak di hadapan rumah atau di bumbung kenderaan. Lagipun pada kebanyakan individu, sambutan Merdeka di sekolah anak-anak sudah cukup untuk mewakili ibu bapa di dalam meraikan sambutan hari kebangsaan.

Semangat Yang Hilang, Apa Lagi Nak Sambut Merdeka 

Selain daripada itu, kehambaran menyambut Hari Kebangsaan juga mungkin kerana isu-isu politik yang dilihat begitu menjengkelkan. Di mana Merdeka apabila kes-kes berprofil tinggi ada yang digugur dan ada pulak disabitkan dengan cara pada pandangan rakyat biasa begitu mencabar keluhuran undang-undang.  Mananya Merdeka kalau masih ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang mencatur sistem kehakiman yang kononnya terpisah daripada sistem politik. Maaf katalah, orang yang tidak pergi sekolah pun tahu, kalau bukti tidak dapat ditunjukkan, saksi-saksi tidak ditampilkan dan ada pula kebocoran maklumat penghakiman, itu adalah undang-undang rimba. Cakap banyak pun tiada gunanya, apa yang dijangka sudah pun menjadi. Kita berdoa sahajalah agar kebenaran akan menang akhirnya.

Kasihan kepada keluarga individu tersebut, diperli dan diejek umpama tiada sedikit jasa pun individu tersebut.. Tidak ada sekelumit pun rasa terima kasih atau mengenang jasa di dalam diri sedangkan banyak yang telah dilakukan oleh individu tersebut untuk rakyat dan negara. Zaman itu adalah zaman serba mewah rakyat dan negara Malaysia. Zaman Malaysia yang gilang-gemilang dan individu tersebut diperakui antara ahli ekonomi terbaik di dunia. 

Masih ada semangatkah untuk menyambut Merdeka jika semua ini berlaku di dalam Bulan Kebangsaan? Lain padang, lain belalang, lain orang, lain pandang.  Mungkin ada yang terlebih seronok mahu menyambut Merdeka tahun ini, tetapi sebelum nak seronok, tolehlah kiri kanan dulu. Berapa ramai yang akan berseronok bersama?

Namun, #YANA = You Are Not Alone, adalah satu bentuk hashtag yang sangat ‘powerful’ melambangkan kasih sayang dan KEKUKUHAN sesebuah keluarga itu, walaupun sedang ditimpa ujian yang getir.

‘Teguh’ Yang Rapuh

Itu satu bab, bab ‘Teguh’ pun satu hal. Di mana kita boleh lihat Teguh di dalam Keluarga Malaysia, apabila tukaran asing kita pun begitu rendah. Ringgit Malaysia tidak teguh berbanding Dolar Amerika. Apabila nilai mata wang kita tidak Teguh, kita terpaksa hadapi kenaikan harga dalam semua industri dan semua produk. Bidang penternakan, dedak naik harga, bidang pertanian – baja dan biji benih naik harga, bidang pembinaan lagilah jangan cakap – besi, konkrit, simen dan semua yang berkaitan naik harga gara-gara Ringgit Malaysia yang tidak teguh.

Dan yang paling menyusahkan apabila industri pembuatan makanan seperti roti, kek, biskut, makanan ringan dan semua produk terutamanya berasaskan gandum semua naik harga. Makanan ruji rakyat Malaysia ialah nasi – beras pun sudah naik harga. Makanan berasaskan gandum selain daripada roti dan pastri, seperti mi dan spagetti juga merupakan hidangan di kebanyakan rumah di Malaysia.  Nak marah? Nak marahkan siapa? Hujung cerita nanti adalah menteri yang akan beri jawapan ala-ala Mantan Menteri Pendidikan era Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, “Maaf la, anda boleh kata apa sahaja, tetapi anda bukan kerajaan.” 

Bila rakyat salahkan kerajaan dan agensi kerajaan, pihak menteri ‘pulangkan paku, buah keras’ kepada rakyat pula dan kata rakyat perlu berjimat cermat, dan kalau tidak mampu, jangan makan. Maka kalau semua sudah naik harga, rakyat suka atau tidak, perlu hadap sahajalah. Maka bekerjalah ibu dan bapa dua atau tiga pekerjaan sehari, anak-anak pandai-pandailah uruskan diri sendiri. Oh betapa rapuhnya ‘Teguh Keluarga Malaysia Bersama’. Mungkin adalah keluarga Malaysia yang menjadi contoh ‘teguh bersama’, tetapi pada ketika ini, yang ‘rapuh’ lebih ramai daripada ‘teguh’. Kalau tidak, tak akan keluar dalam media dikatakan ramai pasangan yang berkahwin masa PKP memilih untuk bercerai, atas alasan ekonomi tidak teguh.

Penciptaan Musuh Melalui Internet

Suka atau tidak, terimalah hakikat bahawa logo Hari Kemerdekaan, yang berupa lambang wifi berbonjol itu adalah umpama keadaan jaluran lebar di Negara Malaysia. Tidak kiralah 4G atau 5G, gangguan tetap sama teruk terutama ketika hujan lebat di mana bonggolan-bonggolan di logo tersebut mewakili internet Malaysia yang tidak stabil.

Apabila line internet tidak stabil, maka emosi pengguna pun begitu. Masakan tidak, tengah asyik tonton Youtube atau main game, line tiba-tiba tersangkut. Yang main game lagilah, eh, tiba-tiba mati. Mahu tidak sakit hati tidak sempat lawan dah mati dulu. Dah la internet berbayar, game kalau nak ‘power’ kena bayar juga. Bayangkanlah sudahlah bayar internet pakej paling laju, beli karakter paling hebat, tiba-tiba mati bodoh sebab masalah line internet. Nak kata apa, masa pemilihan logo, mungkin pihak agensi tidak terfikir kot parodi-parodi dan meme yang akan mereka hadapi hasil kreativiti rakyat Malaysia yang marah kepada line internet yang tidak stabil.

Tu belum lagi ‘musuh’ yang dicipta daripada isu-isu tertentu. Contoh mudah, pergi konsert Billie Ellish adalah haram, sebab percampuran antara lelaki dan wanita dan atas sebab moraliti yang lain. Baiklah, betul. Tetapi, puak yang sama yang begitu tegar tentang halal dan haram, tidak mahu pula ‘menegur’ konsert artis seperti Awie atau perlawanan bola sepak di stadium. Eh bercampur juga, duduk atas riba juga. Oh lupa, jadi ‘polis internet’ boleh ‘double standard’. Haram untuk mu, halal bagi ku. Itu belum penyokong artis A bergaduh dengan artis B pasal produk inai warna hitam.

Perangai para pengasas produk yang tidak keruan juga satu lagi perkara yang macam meminta orang bergaduh. Yang menangis dan insaf konon, tetapi lepas dua hari buat balik content yang bikin kena kecam, kemudian yang perempuan pula sibuk tayang emas berkoyan-koyan. Lepas tayang emas, keluar pula kisah masih subur kalau berkahwin. Oh tidak, ‘benjolan’ atau ‘bongokan’  apakah yang terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia. Jangan marah, ini adalah antara contoh signifikasi ‘benjolan’ di wifi Tema Hari Kebangsaan. 

Cukuplah sampai di sini penulis berkongsi pandangan.  Anggap sahajalah penulisan kali ini sebagai Acik Bawang yang sedang stres sebab hari hujan dan line internet macam kura-kura. Tidak minat nak baca, tidak perlulah nak kecam, New Malaysia Herald masih banyak lagi cerita berkualiti untuk tatapan pembaca. 

Apa-apa pun Selamat Hari Kemerdekaan yang ke-65 daripada saya sebagai anak Malaysia.  Dengan ucapan ‘Negaraku, Tanah Tumpahnya Darahku’, dan ‘Jalur Gemilang adalah Kebanggaan bersama, saya berundur dahulu ya.

Mengenai penulis: Emma Harith adalah seorang surirumah sepenuh masa. Selain daripada menguruskan hal-ehwal domestik, penulis juga seorang aktivis kemasyarakatan di samping mempunyai hobi makan -makan dan jalan-jalan. THE KITCHEN IS MY OFFICE. If you can’t stand the heat, stay away from the kitchen.

Pendapat dalam penulisan ini adalah bersifat peribadi dan ia tidak semestinya mencerminkan pendapat New Malaysia Herald.

Facebook Comments

author avatar
Emma Harith
Emma Harith, a freelance writer, NGO activist and a mum advocate. Having written for a number of media organisations, she loves to focus her writings on adventures, lifestyle and the sky.

Latest articles

Related articles