MUDA Tidak Akan Monopoli Semua Undi 18, Kata Penganalisa

0
705
Adakah Undi 18 akan membawa impak kepada keputusan PRN Johor Kelak? - Grafik NMH oleh DH

Kuala Lumpur – 700 ribu pengundi muda baru (undi 18) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang harus dilihat masih lagi terbuka kepada semua parti bertanding yang masing-masing cuba menarik kelompok ini kata penganalisa politik Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Dr Awang daripada fakulti Pengajian Melayu Universiti Malaya berkata setiap parti seperti UMNO, PKR, DAP dan sebagainya mempunyai sayap muda masing-masing bermakna undi dari golongan tersebut tidak akan dimonopoli oleh parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

MUDA diasaskan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan era Pakatan Harapan (PH) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan telah mengumumkan akan bertanding di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor yang bakal diadakan.

Mulanya Undi 18 Dan Pendaftaran Automatik

Pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun di negara ini serta pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan secara rasmi dan berkuatkuasa mulai 15 Disember 2021 selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Setiap sayap parti yang bertanding di Johor mempunyai strategi mereka sendiri.

“Undi bawah 25 tahun misalnya masih di bawah kawalan ibu bapa mereka yang merupakan sumber tempat bergantung pengundi pada umur ini,” katanya kepada NMH baru-baru ini.

Ujar beliau, lazimnya mereka (bawah 25 tahun) akan mendengar kata ibu bapa mereka.

“Kalau majoriti ibu bapa masih kekal menyokong Barisan Nasional (BN) maka majoriti akan akur kepada pengaruh ibu-bapa mereka.

“Ini berbeza kalangan undi muda yang sudah lama bekerja dan memberikan sumber kewangan kepada ibu bapa mereka.

“Dalam konteks ini, anak muda yang bekerja dan “establish” (stabil) pula dilihat mampu mempengaruhi ibu-bapa mereka jika mereka banyak bergantung kepada anak-anak,” kata Dr Awang.

Calon Langsung BN

Bila bertanya pendapat Dr Awang mengenai calon langsung BN untuk PRN Johor, beliau menegaskan gabungan tersebut terkenal dengan budaya politik multi-racial.

“MCA dan MIC tetap mendapat tempat walaupun peluang untuk menang tipis kerana Umno bukan parti rasis dan sentiasa membantu komponen mereka yang berbilang kaum.

“Ini sudah terbukti sejak lama dahulu. cuma kali ini MCA dan MIC perlu lebih realistik agar tidak mengambil peluang ini sekadar untuk bertanding.

“MCA, MIC perlu buktikan mereka boleh menang dan mendapat sokongan daripada kaum mereka sendiri dan tidak lagi bergantung hayat kepada undi Melayu,” ujar beliau.

Tambah Dr Awang lagi, calon langsung BN hanya boleh dipakai jika tak ada calon “winnable” (boleh menang), “acceptable” (diterima) dan “likeable” (disukai) khusus dalam MCA dan MIC.

“Namun calon itu perlu berganda baik dari calon pilihan parti itu sendiri.

“Jika tidak, calon langsung hanya akan membawa konflik kepada parti yang bertanding sebab diwakili oleh calon pilihan sebenar akar umbi atau kehendak parti,” kata Dr Awang lagi.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 22 Januari berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima menghadap Menteri Besar Hasni Mohammad.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan DUN Johor pada 22 Jan mengikut Fasal 23 Bahagian Kedua Undang Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 Gambar dari FB HRH Crown Prince of Johor

Watikah yang ditandatangani baginda itu berkenaan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat pada 9 Februari untuk menentukan tarikh PRN Johor untuk 56 DUN. – New Malaysia Herald

Facebook Comments

author avatar
Muralitharan Ramachandran