SURAT | Adakah Akan Ada Marriage Of Convenience Lagi?

0
459
Kita harus tolak jika ada parti nak tubuhkan gabungan Marriage of Convenience

Say No! To Gabungan Marriage Of Convenience

Oleh Ramlan Askolani, Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Perseketuan, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai

Khabarnya setelah tewas teruk di PRN Johor, parti-parti yang kalah telah mengadakan perbincangan tentang penggabungan semula untuk mengalahkan BN pada PRU akan datang.

Selepas itu, Setiausaha Agung DAP yang baru membuat kenyataan yang parti itu tidak akan bekerjasama dengan pengkhianat dan perasuah. Saya tidak pasti parti mana yang mereka maksudkan tapi setahu saya bukan UMNO atau mana mana parti komponen dalam BN yang telah mengadakan pertemuan dengan mereka bagi berbincang kearah itu.

Kemudian keluar pula laporan bahawa Pejuang ingin bergabung dengan Warisan, PPBM, MUDA, PAS serta Gerakan untuk membentuk satu gabungan baru menentang BN pada PRU15. Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran laporan ini tapi jika ianya benar, maka jelaslah yang PKR & DAP tidak ada dalam gabungan yang dicadangkan tersebut.

Adakah Marriage of Convenience ini akan berlaku sekali lagi Hampeh jika ia berlaku Fotokredit UMNO Lembah Pantai

Di sini agak jelas juga pihak mana yang telah menolak pihak mana satu yang dikatakan pengkhianat dan perasuah itu. Yang pasti bukan UMNO atau BN.

Sebenarnya jika mereka berjaya pun membentuk gabungan caca-marba atau gabungan parti-parti serpihan ini, ianya kelihatan seperti orang yang sedang lemas, sabut lalu pun akan dicapai. Dalam pepatah Inggeris ianya disebut sebagai “Marriage Of Convenience”. Bila mereka tidur mungkin berkongsi bantal, tapi mimpi sudah pasti lain-lain.

Marriage Of Convenience Yang Gagal

Kita semua sudah lihat bagaimana gabungan “Marriage Of Convenience” antara DAP, PKR & PAS gagal. Ini kerana semua pihak tidak mempunyai ideologi perjuangan yang sama dan saling mencurigai serta mengkhianati sesama sendiri sekiranya ada peluang. Hasilnya, gabungan itu berpecah dan PAS juga berpecah dimana segelintir dari ahli PAS membentuk Parti Amanah Negara. Pergolakan tersebut membantutkan pembangunan negeri Selangor.

Kemudian kita lihat sekali lagi bagaimana “Marriage Of Convenience” berlaku apabila PH ditubuhkan merangkumi DAP, PKR, PPBM dan Amanah. Sekali lagi, selesai sahaja PM7 mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang baru, konflik antara mereka pun bermula. Dalam masa beberapa bulan sahaja mereka telah berebut kuasa dan setelah setahun keretakkan yang cuba dibendung hampir tidak dapat dibaiki lagi dan hanya menunggu masa sahaja.

Beberapa bulan kemudian, PH tumbang apabila salah satu parti gabungan mengkhianati yang lain. Bertambah parah apabila berlaku pengkhianatan oleh 10 orang ahli parlimen dari PKR yang melompat membentuk kerajaan baharu bersama UMNO. Sekali lagi terjadi satu “Marriage Of Convenience”.

Apa yang berlaku selepas bulan Februari 2020 sehingga hari ini telah menjadi sejarah dan seluruh rakyat Malaysia mengetahuinya. Kita telah ada tiga Perdana Menteri dalam masa kurang dari empat tahun. Akibat dari ketidakstabilan politik ini maka pentadbiran negara tidak dapat diuruskan dengan efisien dan menjadi kucar-kacir dalam pelbagai aspek termasuk aspek yang penting, iaitu kesihatan awam dan ekonomi.

Kita masih lagi belum keluar dari kepayahan tersebut walaupun berbagai-bagai usaha telah dan sedang dijalankan oleh kerajaan baru. Sesungguhnya kerosakan pada negara sepanjang 22 bulan diperintah oleh PH terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan Perdana Menteri selepas itu.

Apakah puncanya? Puncanya sudah tentu kerana rakyat telah mengambil mudah tentang pentingnya kestabilan politik dalam memajukan negara. Ramai yang terlepas pandang bahayanya mempunyai kerajaan ibarat “Marriage Of Convenience” ini.

Saya amat berharap agar rakyat Malaysia tidak akan mengulangi kesilapan yang sama memilih gabungan yang dibentuk hanya dengan satu persamaan, iaitu semuanya mempunyai “One Common Enemy“. Selepas common enemy ditumbangkan, mereka mula bertelagah, menjadi musuh sesama sendiri dan rakyat yang menjadi mangsa.

Saya masih ingat lagi dengan alasan “Belum Cuba Belum Tahu” dan alasan bagi peluang parti baru memerintah. Kita tengok dulu. Ini kalilah. Sekarang dah cuba dah nampak kan? Jangan kita jatuh kedalam lubang yang sama dua kali.

Setiap perkahwinan itu asasnya adalah cinta dan keikhlasan untuk hidup bersama sehingga ke anak cucu dan ke akhir hayat, bukan untuk mengecapi objektif ekonomi atau sosial dalam jangka masa pendek. Say No To Gabungan “Marriage Of Convenience”!

Ramlan Askolani adalah pembaca New Malaysia Herald. Perkara yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian New Malaysia Herald.

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com