Penyanyi, Komposer Terkenal Berdepan Hukuman Gantung Sampai Mati

0
731
Yasin Sulaiman di bawa ke mahkamah kerana tuduhan mengedar dadah dan menanam pokok ganja dikediaman beliau

Yasin, penyanyi dan komposer terkenal sempat ‘memberi’ pesanan supaya mengirim salam kepada ahli Parlimen Syed Saddiq

Petaling Jaya: Penyanyi nasyid, Yasin Sulaiman berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya, pada 24 Mac lalu.

Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah. Beliau memakai baju-t hitam dan tiba di mahkamah kira-kira 10 pagi diiringi anggota polis.

Mengikut pertuduhan, penyanyi popular dengan lagu Mimpi Laila didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Yasin juga sempat ‘memberi’ pesanan supaya mengirim salam kepada Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah di sini. Ucapan itu dituturkan Yasin secara santai dan tenang sebelum masuk ke dalam bilik mahkamah di kompleks berkenaan.

“Kirim salam pada YB Syed Sadiq, minta dia segerakan kelulusan kanabis untuk perubatan di Parlimen,” kata Yasin kepada petugas media.

Semalam, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata penyanyi terbabit akan didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 39B dan 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa polis turut menemui dua plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram, cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan PH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Penyanyi Mengaku Tidak Bersalah

Sementara itu, Yasin mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin di Mahkamah Sesyen.

Tertuduh didakwa menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim dan Asnawi Abu Hanipah manakala tertuduh diwakili peguam Yusmadi Yusoff.

Bagi kedua-dua prosiding itu, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes. – New Malaysia Herald

Facebook Comments