Senarai Calon BN Memaparkan Perubahan – Muka Baru, Pertukaran Kawasan

Gelombang Biru dengan tema BN ‘Kestabilan dan Kemakmuran’ telah menggegarkan Dewan Tun Hussein di Pusat Dagangan Dunia (WTC) semalam dengan semangat juang yang tinggi demi rakyat dan negaraOleh Emma Harith dan Carole Raymond Abdullah

Kemeriahan Gelombang Biru di Pusat Dagangan Putra pada Selasa (01 Nov 2022) begitu mengujakan para penyokong, dan membuatkan ramai yang ternanti-nanti siaran langsung pengumuman calon Barisan Nasional (BN) dengan sabar.

Pada PRU ke-14 lalu, BN tewas selepas memerintah selama 61 tahun. Lantaran itu, tekad ‘Gelombang Biru’ kali ini adalah untuk mengembalikan mandat kepimpinan kepada BN dengan tema ‘Kestabilan dan Kemakmuran’.

Majlis bermula pada 9.00 malam diserikan dengan ucapan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi. Dalam ucapan, beliau mengingatkan tentang kesetiaan kepada perjuangan parti dan jika BN diberi mandat sebagai kerajaan, BN akan bekerja keras seperti sebelum ini demi kemakmuran rakyat dan negara.

Strategi Baru BN

Pada PRU15 kali ini, UMNO telah melakukan beberapa kejutan yang diterima baik oleh rakyat dan penyokong BN khasnya. Walaupun perubahan tersebut merupakan satu bentuk ‘risiko politik’, tetapi ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan bagi menarik pengundi-pengundi muda yang mahukan perubahan dilakukan oleh parti UMNO/BN yang dikenali sebagai parti veteran.

Memandangkan undi orang muda yang berumur 18-29 adalah penentu kemenangan pada PRU15 kali ini, muka-muka baru yang berpotensi untuk menang telah diketengahkan. Selain daripada percaturan meletakkan muka baru, strategi yang dilakukan oleh BN ialah menukarkan tempat calon yang telah menang di kawasan yang ditandingi di PRU14 ke tempat lain. Kedua-dua strategi ini adalah serampang dua mata, di mana BN secara tidak langsung ‘menggempur’ kubu pihak lawan, serta ‘membina’ penyokong di kawasan yang ditandingi.

Jika mereka menang, ia adalah bonus kerana BN bukan sahaja mendapat pertambahan kerusi, jika kalah, tiada apa yang mahu dimalukan kerana tempat tersebut adalah kubu kuat pihak lawan.

Kubu Yang Bakal Digempur oleh Calon2 BN

Antara ‘kubu’ yang bakal digempur adalah Lembah Pantai, Shah Alam, Sungai Buloh dan Kuala Selangor. Kelima-lima kawasan tersebut merupakan ‘kawasan hitam’ pihak UMNO di mana pada PRU 14, ia di menangi oleh PKR Fahmi Fadzil (Lembah Pantai- Majoriti 5,598 undi), Amanah Khalid Samad (Shah Alam- Majoriti 33,849 undi), PKR Sivarasa Rasuah (Sungai Buloh- Majoriti 26,634) dan Amanah Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor – Majoriti 8,498).

Bagi menggegarkan kawasan-kawasan ini BN telah bersepakat meletakkan Ramlan Askolani (Lembah Pantai), Isham Jalil (Shah Alam), Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Kuala Selangor), dan Khairy Jamaluddin (Sungai Buloh).

Dari Padang Bola Sepak ke Arena Politik

Ramlan Askolani: Saya Bersama Jentera Bn Lembah Pantai Akan Menyantuni Dan Membantu Segala Yang Terdaya. - Nmh Grafik Oleh Dh
Ramlan Askolani Saya bersama jentera BN Lembah Pantai akan menyantuni dan membantu segala yang terdaya NMH grafik oleh DH

Ramlan yang sebelum ini berpengalaman sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai tiga penggal berturut-turut merupakan antara pemain tengah pasukan Harimau Malaysia yang lincah dan agresif. Kini, kelincahan beliau bertukar kepada kecekapan melakukan kerja-kerja kebajikan di kawasan Parlimen Lembah Pantai.

Pernah menyarung jersi Skuad Harimau Malaysia dan mewakili negara beraksi untuk kejohanan antarabangsa, Ramlan yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia pernah bertarung mewakili negara dalam perlawanan peringkat antarabangsa bersama Dollah Salleh, Azizul Abu Hanifah, Abdul Karim Pin dan penjaga gol, Ahmad Sabri serta lagenda bola sepak negara Allahyarham Mokhtar Dahari.

Kumpulan Elit, M40, B40

Seperti yang diketahui umum, Lembah Pantai terdiri daripada kawasan Bangsar yang dihuni oleh kumpulan elit, dan pada masa yang sama kawasan-kawasan lain di dalam Lembah Pantai dihuni oleh M40 dan B40. Keadaan sosio-ekonomi yang berbeza-beza ini merupakan cabaran yang perlu ditangani dengan bijaksana kerana keperluan ketiga-tiga kelompok masyarakat ini adalah berbeza.

Dengan meletakkan Ramlan sebagai calon dari UMNO/BN, ia menunjukkan bahawa kepimpinan yakin bahawa bekas pemain bolasepak ini mampu untuk berkhidmat kepada rakyat mengikut keperluan masyarakat setempat, di mana bagi kelompok elit mereka mementingkan perkhidmatan perbandaran dan keselamatan. Bagi kelompok lain mereka memerlukan bantuan berbentuk material dan kewangan selain daripada menyelesaikan masalah-masalah lain yang berkaitan dengan kepentingan awam, perumahan dan pendidikan contohnya.

Kerusi Yang Orang Tidak Mahu

Isham Jalil: Saya Berharap Saya Sebagai Wakil Dari Bn Diberi Peluang Untuk Servis Rakyat Shah Alam Tanpa Mengira Siapa Dan Parti Mana Yang Disokong Oleh Penduduk. - Nmh Grafik Oleh Dh
Isham Jalil Saya berharap saya sebagai wakil dari BN diberi peluang untuk servis rakyat Shah Alam tanpa mengira siapa dan parti mana yang disokong oleh penduduk NMH grafik oleh DH

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil dikatakan diletakkan di Shah Alam kerana tiada orang yang mahu bertanding di situ kerana Shah Alam disebut antara ‘kubu kuat’ Pakatan Harapan. Kemenangan Khalid Samad dari Amanah yang bertanding di bawah panji PKR cukup digeruni lawan dan ‘hampir mustahil’ untuk dikalahkan.

Keberanian Isham Jalil bertanding di ‘kawasan panas’ ini disambut baik oleh golongan muda, terutamanya yang berpendidikan tinggi kerana ia adalah satu perubahan yang amat dinanti-nantikan.

Dengan sikapnya yang bersahaja dan tidak kisah kalah atau menang menjadikan Isham Jalil antara calon ‘underdog’ yang dipertaruhkan UMNO BN sebagai ayam tambatan untuk merampas kerusi pihak Pakatan Rakyat yang begitu selesa dengan kemenangan PRU14.

Kerusi Shah Alam antara 120 kerusi ditandingi UMNO BN dan dianggap antara pertarungan paling sukar yang dihadapi kerana pada 2018, Khalid meraih 55,949 undi, menewaskan calon Umno (22,100 undi) dan PAS (15,194 undi) dengan majoriti 33,849 undi.

BN hanya memenangi dua kerusi Parlimen di Selangor pada 2018 – Tanjong Karang (Noh Omar) dan Sabak Bernam (Fasiah Fakeh). Fasiah antara enam Ahli Parlimen Umno yang meninggalkan parti itu pada Disember 2018 untuk menyertai Bersatu.

Bermula Dari Portfolio Kewangan Negara

Tengku Zafrul: Insyaallah Saya Akan Sedaya Upaya Selesaikan Permasalahan Penduduk Agar Kualiti Hidup Dan Sosio Ekonomi Kuala Selangor Ditingkatkan Lagi - Dan Nama Bn Diharumkan Lagi Di Negeri Selangor Ini. - Nmh Grafik Oleh Dh
Tengku Zafrul InsyaAllah saya akan sedaya upaya selesaikan permasalahan penduduk agar kualiti hidup dan sosio ekonomi Kuala Selangor ditingkatkan lagi dan nama BN diharumkan lagi di negeri Selangor ini NMH grafik oleh DH

Teka-teki terjawab sudah apabila Tengku Zafrul adalah antara calon muka baharu daripada 22 calon yang akan bertanding bagi kawasan Parlimen di Selangor. Rezeki tidak pernah salah alamat. Julai lalu, dipilih sebagai Bendahari BN Selangor dan pada 1 November 2022 menjadi calon PRU15 pula.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Noh Omar, memaklumkan 21 daripada 22 calon parti itu bagi PRU15 adalah muka baharu.

Beliau adalah antara calon BN yang menepati kriteria, iaitu muda, berpendidikan tinggi, bersih dari sebarang kontroversi dan disukai ramai..

Dari Rembau ke Sungai Buluh

Khairy Jamaluddin: Sebagai Calon Bn Saya Akan Buat Yang Terbaik Untuk Jumpa & Meyakinkan Seramai Mungkin Pengundi Sb Untuk Memberi Peluang Kepada Saya. - Nmh Grafik by Dh
Khairy Jamaluddin Sebagai calon BN saya akan buat yang terbaik untuk jumpa meyakinkan seramai mungkin pengundi SB untuk memberi peluang kepada saya NMH grafik by DH

‘Love him, or hate him’ Khairy Jamaluddin yang lebih dikenali sebagai KJ mempunyai aura kepimpinan yang tersendiri. Walaupun ada pihak yang meramalkan jika KJ kalah di PRU15, ia bakal meranapkan terus politik beliau.

Namun, penyandang kerusi Parlimen Rembau, ini telah bersedia untuk dicalonkan di mana-mana kawasan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebagai seorang yang telah lama berkecimpung dalam bidang politik, tiada yang mustahil bagi beliau, walaupun ada yang mengatakan Sungai Buluh adalah kerusi tradisi PKR, tetapi populariti KJ sebagai Menteri Belia dan Sukan menjadikan beliau ikon anak muda dan kemudian menjadi Menteri Kesihatan tidak dapat disangkal atau dinafikan oleh pihak lawan.

Beri Laluan

Sebelum ini, Khairy mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan yang juga Ketua Umno Bahagian Rembau dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

Apa-apapun, jangan lupa turun mengundi pada 19 November 2022 nanti. Gunakanlah hak anda, pilihlah pemimpin yang mampu memakmurkan negara dan berkhidmat untuk rakyat.

Jadilah rakyat yang cakna politik, buatlah ‘due diligence’ ke atas setiap parti dan calon-calon di kawasan anda. Perhatikan baik-baik tingkahlaku mereka kerana masa depan rakyat dan pemimpin yang bakal mewarisi pentadbiran negara adalah di hujung jari anda. – NMH

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com

Latest articles

Related articles